Nasional

‘Perlu jawab isu tular kerana Melayu percayakan iluminati’

PUTRAJAYA: Sikap segelintir masyarakat Melayu yang lebih mempercayai pihak selain pakar perubatan dan menolak pengambilan vaksin COVID-19 tanpa alasan kukuh menjadi cabaran besar kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, walaupun pihaknya tidak melihat isu pengambilan vaksin termasuk dos penggalak mengikut pecahan kaum.

Bagaimanapun, tegasnya, perbezaan mengikut masyarakat adalah ketara apabila sesuatu kaum menunjukkan bilangan penerima pelalian tinggi manakala satu lagi kaum adalah sebaliknya.

Katanya, faktor berkenaan perlu diambil kira bagi melaksanakan intervensi yang berkesan.

“Apa yang kita tahu sekarang ini keengganan menerima dos penggalak atau pun menyertai Program Imunisasi COVID-9 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dalam kalangan masyarakat Melayu agak tinggi.

“Berikutan itu, usaha melaksanakan sesi penerangan dan usaha menjawab satu persatu isu tular dalam kalangan masyarakat Melayu mesti dipertingkatkan,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini. 

Mengakui ia adalah cabaran besar, Khairy sempat berseloroh secara sinis apabila menegaskan pihaknya perlu terus mencuba kerana “masyarakat) Melayu percayakan iluminati.”

Khairy berkata, pakar perubatan dalam bidang masing-masing sudah diminta untuk lebih kerap tampil di media sosial bagi menjawab dan mematahkan hujah kumpulan penentang vaksinasi.

“Mereka (kumpulan penentang vaksinasi) sangat rajin dan berjaya menakutkan orang lain, jadi usaha untuk mengatasi pandangan tidak berasaskan sains ini akan diperhebatkan,” katanya.-BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *