Sukan

Perlumbaan Spartan kembali ke Sarawak, lebih gempak & mencabar

PADAWAN: Selepas terhenti selama dua tahun ekoran penularan wabak Covid-19, perlumbaan lasak menjadi kegilaan ramai, Perlumbaan Spartan kembali semula ke Sarawak.

Edisi kedua yang dianjur serentak dengan Persidangan Sidang Kemuncak Pelumba dan Pemilik Spartan Asia Pasifik diadakan dari 11 hingga 12 Jun 2022 di dua lokasi, Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak dan Institut Pertanian Semenggok.

Berucap semasa perasmian perlumbaan itu di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak pada Sabtu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Perlumbaan Spartan berjaya menarik ramai peserta dari negara luar walaupun sempadan negara baharu dibuka 1 April lepas.

“Walaupun sempadan kita baru dibuka pada 1 April tahun ini, perlumbaan ini telah berjaya menarik minat peserta dari negara luar seperti Brunei, Indonesia, Thailand, Australia, Filipina, Afrika Selatan, Jepun, Korea, Maldive, Australia dan sejauh United Kingdom.

“Ini jelas membuktikan Sarawak yang kaya dengan hutan hujan, habitat semulajadi dan penduduknya yang mesra menjadi destinasi antarabangsa yang hebat untuk produk pelancongan sukan seperti Perlumbaan Spartan,” katanya.

Menurut Dato Sri Abdul Karim, sebagai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, beliau sangat teruja dengan penganjuran perlumbaan itu kerana membantu mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan.

Katanya, acara bertaraf dunia seperti itu sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh semua orang termasuk pihak kerajaan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan di sini bahawa kementerian saya telah bersetuju untuk menyokong penganjuran dua lagi acara di bawah ‘Spartan Umbrella’ yang akan diadakan di Sarawak pada tahun ini.

“Acara pertama dipanggil The Borneo Trail Classic. Borneo Trail Classic adalah sebahagian daripada Spartan Trail World Siri Kejohanan dan merupakan perhentian ke-7 daripada 9 Perhentian Seluruh Dunia.

“Ia akan diadakan di Sarawak pada 14-16 Oktober, bertempat di Redeems Center, Kampung Apar, Kuching. Perlumbaan ini akan mempertandingan dua kategori perlumbaan kejohanan dunia, 50km Trail dan 100km Trail Ultra dengan jumlah hadiah wang tunai melebihi AS$18,000,” jelas Dato Sri Abdul Karim.

Tambahnya, pada November tahun ini juga, Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada acara DEKA FIT yang pertama dianjurkan di Asia Tenggara.

DEKA FIT bermula pada acara Spartan 2020 dengan matlamat mencipta penanda aras kecergasan yang boleh diuji dalam persekitaran terkawal yang tidak dipengaruhi oleh keupayaan, lokasi atau bentuk muka bumi.

Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim menambah, terdapat empat acara bertaraf antarabangsa diadakan pada bulan Jun ini iaitu Festival tarian Antarabangsa Sibu pada 9 – 11 Jun, Perlumbaan Sparta, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia pada 17 – 19 Jun dan Festival Jazz Borneo pada 25 – 27 Jun. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *