Nasional

Permohonan pengambilan Khas guru mula dibuka pada Jumaat

IPOH – Permohonan bagi pengambilan khas guru menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dibuka mulai hari ini untuk menampung kekurangan sumber pengajar di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, siswazah berminat boleh membuat permohonan mengisi kekosongan itu terutamanya dalam empat mata pelajaran kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

“Para graduan sama ada daripada bidang pendidikan atau bukan pendidikan juga boleh membuat permohonan sekiranya berminat menjadi guru atau guru sementara.

“Mereka boleh membuat permohonan melalui laman web dan kita harap pengambilan ini boleh mengatasi kekurangan guru di seluruh negara terutama dalam mata pelajaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tiada tarikh tutup ditetapkan buat masa ini dan mereka yang pernah memohon sebelum ini tetapi tidak berjaya boleh mengemukakan semula permohonan mengikut opsyen mata pelajaran diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dilaporkan kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, kira-kira 1,000 pelajar menghadiri Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di sekolah berkenaan bermula 9 pagi tadi yang dianjurkan dengan kerjasama KPM dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia dan Gabungan Lembaga Pengelola Sekolah Malaysia.

Katanya, tujuan utama pameran itu ialah menyediakan platform bagi pelajar sekolah menengah, khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengetahui tawaran atau peluang disediakan kerajaan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang bersesuaian. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *