Tempatan

Pertandingan bertuntong kini produk pelancongan baru di Sarawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki mengesyorkan agar pertandingan bertuntong dimasukkan dalam kalendar tahunan pelancongan di Sarawak.

Menurutnya, tradisi bertuntong yang cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak setiap kali menjelang sambutan Hari Raya mampu dijadikan satu lagi produk pelancongan untuk menarik kedatangan pelancong ke Sarawak.

Pada masa sama katanya, aktiviti tersebut dapat menjadi platform untuk mengekalkan tradisi warisan yang dipraktikkan masyarakat Sarawak sebelum zaman penjajahan lagi.

“Kita mengharapkan aktiviti ini dapat dilaksana setiap tahun dan kalau boleh kita mengesyorkan kepada pihak pelancongan untuk meletakkan aktiviti ini dalam kalendar tahunan supaya dapat menarik kedatangan pelancong ke Sarawak.

“Jadi setiap kali Syawal mereka akan datang dan ia menjadi produk pelancongan kita. Jadi ia banyak manfaat.

“Selain mengekal tradisi warisan, ia juga menjadi produk pelancongan,” katanya kepada wartawan semasa melancarkan Pertandingan Bertuntong Online Satok Ke-2 2022 bertempat di Kampung No.5 pada Selasa.

Dalam hal ini, beliau memuji inisiatif pihak Kamek Asal Orang Satok (KAOS), Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok kerana kerjasama menganjurkan edisi kedua pertandingan tersebut.

Tambah beliau, selain mengetengahkan budaya Sarawak kepada pengunjung luar, penganjuran program itu juga berperanan mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat di kawasan Satok.

Malah ia juga memperlihatkan kerukunan masyarakat berbilang kaum yang tinggal di kawasan Satok apabila turut sama memeriahkan aktiviti tersebut.

Pertandingan tersebut telah bermula sejak 23 April hingga 10 Mei depan dan hanya hanya terbuka kepada penduduk kampung berada dalam DUN N8 Satok dan mereka yang di luar DUN Satok tetapi berasal dari DUN Satok.

Edisi kali ini mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Individu iaitu rumah warisan lama dan Rumah Warisan Moden; Kampung dan Keluarga iaitu Foto: Keluargaku Raya Sedondon dan Kuih Raya/Palak Meja. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *