MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan menganjurkan Pesta Bubuk Miri 2022 pada 12 dan 13 Mac ini.
Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang menerusi kenyataan media pada Khamis berkata, ianya akan diadakan di Tamu Batu 1, Kuala Baram Miri.
“Pelbagai acara menarik akan dianjurkan antaranya Pesta Bubuk Sea Cruise, Pertandingan Layang-Layang Wau Tercantik (Notis jemputan pertandingan telah dikeluarkan), Pertandingan Memasak Berasaskan Bubuk dan Zumba – Senaman Pantai Beramai-ramai,” katanya.
Pesta Bubuk Miri 2022 merupakan acara pelancongan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan MBM dan buat julung kalinya diadakan secara tersusun dan berskala besar serta berhasrat mempromosikannya sebagai acara tahunan dalam Kalendar Miri pada masa depan.
Bubuk ialah sejenis hasil laut udang kecil yang biasanya ditemui di sepanjang kawasan laut dan menjadi banyak pada bulan Mac di Miri.
Selepas menuai bubuk, mereka menghasilkan belacan, pes udang, cencaluk, sos udang yang ditapai dan goreng udang kering yang merupakan hidangan tempatan di kalangan penduduk Miri dan Brunei.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Bubuk Miri 2022 Kaunselor Warziedea Ahmad memberitahu majlis pelancarannya akan diadakan pada 12 Mac 2022 jam 8:00 pagi di Tamu Batu 1, Kuala Baram, Miri dan penutupannya pada 13 Mac 2022 di tempat yang sama.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka akan merasmikan Pesta Bubuk Miri 2022 dan penutupnya oleh Datuk Bandaraya Miri.