KUCHNG: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo mengucapkan syabas kepada petinju negara dari Sarawak, Daeloniel McDelon di atas kejayaannya menjuarai Kejohanan Tinju Profesional Pakistan selepas menewaskan wakil tuan rumah, Sikender Abbasi dalam kategori 57 kilogram pada Sabtu.
Ketika dihubungi, Dato Rahman menyifatkan kejayaan anak kelahiran Sri Aman itu sangat membanggakan bukan sahaja Sarawak malah seluruh negara kerana menjadi satu-satunya wakil Malaysia ke kejohanan tersebut.
Katanya, Daeloniel telah membuktikan kredibilitinya sebagai petinju yang disegani bukan sahaja dalam negara malah di rantau ini susulan kejayaannya itu.
“Bagi pihak SABA, kita mengucapkan syabas dan sangat berbangga dengan kejayaan dilakar oleh Daeloniel.
“Kemenangan ini sudah tentu akan menjadi penyuntik semangat kepadanya untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam kejohanan akan datang termasuk SUKMA pada September kelak,” ujar Dato Rahman.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) kerana sentiasa menyokong program pembangunan tinju anjuran SABA.
Selain itu, Dato Rahman turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Tinju Daerah Kuching, Dato Zulquarnien atas sumbangan kepada SABA.
Pada kejohanan tersebut, Daeloniel McDelon melenyapkan keriuhan penyokong tuan rumah di Stadium Lalak Jan, Pakistan selepas menumbangkan Sikender Abbasi dengan pukulan Technical Knockout (TKO).
Untuk rekod, Daeloniel pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Tinju Zon Borneo 2015, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Jakarta 2016, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Mayor Cup Johor 2018, pingat emas di Kejohanan Tinju Kebangsaan Piala Malaysia Edisi 2019-2021 dan pingat emas di Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan pada tahun ini.
Kejohanan itu turut disertai peserta dari Indonesia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Nigeria. – SN