Dunia Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan...

Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan Sulu

7

KUALA LUMPUR: Petronas mengesahkan bahawa dua anak syarikatnya di Azerbaijan telah menerima notis ‘Saisie-arret’, susulan laporan media bahawa aset dua syarikat terbabit dirampas waris Kesultanan Sulu.

“Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’.

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, malam ini.

Difahamkan, notis ‘Saisie-arret’ bermaksud notis penyitaan.

Kata kenyataan itu lagi, bagaimanapun kedua-dua anak syarikat Petronas terbabit telahpun melupuskan semua aset di Azerbaijan, sebelum ini.

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat itu, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil daripada pelupusan berkenaan telahpun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu Financial Times melaporkan, waris Kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada Malaysia telah merampas aset dua anak syarikat Petronas itu.

Laporan itu juga menyebut, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset syarikat petroleum itu yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.

Menurut laporan itu juga, nilai kedua-dua aset berkenaan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.87 bilion).

Peguam yang mewakili waris kesultanan itu dilaporkan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat berkenaan bagi pihak pelanggan mereka.

Difahamkan juga, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.-ASTRO AWANI

Previous articleKerajaan Sarawak rancang bina masjid baharu terapkan unsur seni bina masyarakat setempat berbilang kaum
Next articlePDRM terima 72 laporan polis kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji membabitkan RM3.95 juta
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here