Tempatan

PETROS, PETRONAS & Parti Konsortium Jepun tandatangan Perjanjian Tapak Penyimpanan

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), melalui anak syarikatnya – CCS Ventures Sdn Bhd (PETRONAS CCS Ventures), dan Parti Konsortium Jepun yang terdiri daripada Japan Petroleum Exploration Co., Ltd. (JAPEX), JGC Holdings Corporation (JGC) dan Kawasaki Kisen Kaisha, Ltd. (“K”LINE) menandatangani Perjanjian Tapak Simpanan (SSA) untuk medan M3 yang habis di luar pesisir Sarawak, Malaysia pada 26 Februari 2024.

SSA bukan sahaja membolehkan kajian kebolehlaksanaan tapak penyimpanan karbon dioksida (CO2) bermula dengan medan M3 habis (Projek M3 CCS), tetapi juga perancangan pembangunan tapak penyimpanan CO2 yang berkaitan, termasuk terminal darat dan saluran paip pengangkutan, serta penilaian kebolehlaksanaan teknologi-komersialnya

Kerjasama ini mewakili kemajuan ketara dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rantau Asia Pasifik (APAC), termasuk Malaysia dan Jepun.

Penandatangan SSA tersebut ialah Naib Presiden Kanan PETROS, Pengurusan Sumber Sarawak Nazrin Banu Shaikh S. Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS CCS Ventures Emry Hisham Yusoff; Pegawai Eksekutif Urusan JAPEX dan Presiden Bahagian II Perniagaan Luar Negara, YAMADA Tomomi; Pegawai Eksekutif Kanan JGC, Pegawai Pengkomersialan Teknologi, AIKA Masahiro; dan Pegawai Eksekutif Urusan ”K”LINE, Promosi Neutral Karbon, KANAMORI Satoshi.

Nazrin berkata, sebagai pengurus sumber untuk Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Sarawak, langkah ke hadapan itu menandakan komitmen pihaknya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Sarawak memanfaatkan CCUS sebagai pemboleh.

“Ini adalah projek pertama untuk industri dan menjadi dorongan kepada lebih banyak projek penyelesaian karbon rendah. Kami berbesar hati untuk berkongsi komitmen kami kepada Sarawak dengan PETRONAS dan Konsortium Jepun yang mengambil bahagian bersama kami dalam projek CCUS ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Emry berkata, kerjasama ini bukan sekadar langkah strategik untuk membuka peluang potensi CCS di Sarawak tetapi adalah perlu dalam menangani perubahan iklim sebagai tindakan kolektif dalam mencapai masa depan rendah karbon.

“Dengan menyimpan CO2 yang ditangkap di bawah tanah dengan selamat, CCS memainkan peranan penting dalam menyahkarbonkan industri utama, dan diharapkan kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada inisiatif CCS lain di Malaysia,” ujarnya.

Manakala, YAMADA, yang mewakili Parti Konsortium Jepun berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PETRONAS CCS Ventures dan PETROS untuk projek berkenaan.

“Kami percaya bahawa kepakaran setiap syarikat boleh memberi sumbangan besar untuk merealisasikan rantaian nilai CCS yang berpusat di Sarawak yang bertujuan untuk penyahkarbonan rantau APAC, termasuk Jepun,” menurutnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *