Sukan

PFAM bakal heret Melaka, Sarawak United ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bakal mengheret pengurusan pasukan Melaka United dan Sarawak United ke mahkamah membabitkan kes tunggakan gaji pemain.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menjelaskan tindakan memfailkan kes itu di mahkamah akan dilakukan selepas keputusan perbicaraan oleh Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan bermesyuarat pada 6 April ini.

Izham berkata, keputusan untuk membawa kes itu ke mahkamah dilakukan selepas kedua-dua pasukan terbabit dilihat masih gagal untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

“Sekarang ini kita sedang menanti mesyuarat NDRC yang sudah ditetapkan oleh FAM, dijadualkan pada 6 April berkenaan kes pemain pasukan Sarawak United dan juga Melaka United.

“Kita mengharapkan selepas perbicaraan pada minggu depan, kita akan dapat satu keputusan dan kemudian kita akan terus bawa kes ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada ruang atau tidak ada inisiatif daripada pasukan berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini, jadi kita di PFAM mengambil langkah untuk bawa kes ini ke mahkamah selepas selasai NDRC.

“Kita sudah menghantar beberapa surat selepas beberapa keputusan yang lain sebelum ini dan ini satu lagi langkah yang kita lakukan selepas mereka masih gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji yang sepatutnya merek selesaikan,” katanya pada majlis berbuka puasa PFAM bersama orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan orang kerdil, di sini, semalam.

Selain itu, Izham berkata, kes tunggakan gaji yang akan dibawa ke mahkamah nanti membabitkan lebih 20 pemain di bawah persatuan itu dengan tunggakan gaji Melaka United berjumlah lebih RM1 juta dan Sarawak United kurang RM500,000.

“Kita mengharapkan usaha yang kita lakukan ini dapat membantu pemain lebih-lebih persiapan pemain juga terkesan dengan anak mereka ada yang baru bersekolah dan persediaan Syawal yang bakal disambut nanti.

“Kita akan bantu mereka dengan lebih serius dan saya harap tindakan seperti ini memberi tekanan kepada pasukan terbabit untuk menyelesaikan masalah,” katanya.-BERITA HARIAN

Exit mobile version