KUCHING: Sebanyak 135 kotak minuman keras dan 1,500 karton rokok pelbagai jenama dirampas kerana disyaki tidak bercukai dari sebuah premis di Gala City di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kejayaan tersebut adalah hasil operasi kontraban yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas premis tersebut dan mendapati terdapat sebuah lori yang di dalamnya mengandungi rokok dan minuman keras tersebut.
“Kesemua 1,500 karton rokok dan 135 kotak minuman keras pelbagai jenama tersebut yang disyaki tidak bercukai telah dirampas untuk siasatan lanjut.
“Nilai jumlah rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM240,000,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang 10 ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 ganda nilai barangan atau RM500,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penyeludupan.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhuhung kejadian juga boleh menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran. – SN