Nasional PJM mampu jana jualan RM500 bilion tahun ini – Alexander

PJM mampu jana jualan RM500 bilion tahun ini – Alexander

11

SIBU: Program Jualan Malaysia (PJM) yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara, dijangka mampu menjana serta menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata program itu menyokong usaha pemulihan ekonomi melalui sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan berteraskan konsep 3R, iaitu ‘Recovery’ (pemulihan), ‘Revive’ (menghidupkan semula) serta ‘Revitalise’ (merancakkan).

Sejak awal tahun ini, beliau berkata, PJM Tahun Baharu 2022 telah diadakan serentak dengan Jualan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur, disusuli PJM ‘Rancak Aidilfitri’ di Nilai, Negeri Sembilan, dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“PJM ‘Rancak Hari Gawai’ di Pekan Song dan Kapit pula merupakan kesinambungan segmen perayaan ini, dalam usaha menggalakkan ahli Keluarga Malaysia keluar berbelanja secara fizikal dalam suasana norma baru yang selamat serta meriah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit menghadiri PJM ‘Rancak Hari Gawai’ di Pekan Song, hari ini, dan dijadualkan ke program sama di pekarangan Dewan Suarah, Kapit, esok.

Berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, Alexander berkata, sektor perdagangan dan pengedaran merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 bilion sepanjang tempoh Februari lalu yang merupakan pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pencapaian itu dijangka dapat ditingkatkan dengan pelbagai inisiatif kementeriannya, terutama menerusi PJM sepanjang tahun ini, dengan memberi penekanan kepada segmen musim perayaan utama Keluarga Malaysia.

“Kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak terbabit, terutama pemain industri peruncitan, untuk terus memastikan ekosistem sektor itu kekal berdaya saing serta berdaya maju dalam merancakkan kembali ekonomi negara,” katanya. -BERNAMA

Previous articlePM hadir rumah terbuka Tentera Darat
Next articleRisiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah – Dr Noor Hisham
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here