Nasional

PM putuskan isu buka sempadan negara 

BUTTERWORTH: Pembukaan sempadan negara bukan isu mudah dan perlu dibincangkan di Kabinet sebelum dimuktamadkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selepas dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19.

Hishammuddin berkata, kerajaan mengambil maklum syor yang dikemukakan Majlis Pemulihan Negara (MPN) berhubung cadangan pembukaan sepenuhnya sempadan negara.

Bagaimanapun, katanya, anggota kuartet merangkumi dirinya, Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan dan ahli jawatankuasa terbabit tidak mempunyai mandat membuat keputusan. 

“Isu pembukaan sempadan negara akan dibawa kepada Kabinet atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk diputuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Pengenalan Pesawat AW139 dan meninjau projek perumahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang selesai dinaik taraf di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata, perbezaan pandangan atau komunikasi antara MPN dengan Menteri Kuartet COVID-19 tidak berbangkit atau perlu dijadikan isu.

“Perkara biasa jika ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Ia tidak pelik dan mudah dijawab kerana Jawatankuasa Pemulihan Negara turut dianggotai Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Kewangan yang juga ahli kuartet.

“Kalau nak kata kita tidak berkomunikasi, ahlinya sama. Cuma peringkat jawatankuasa pemulihan tiada mandat membuat keputusan,” katanya.

Kelmarin, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, syor adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini. -Berita Harian 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *