KUCHING: Sebanyak 183 saman (Pol. 257) pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Datuk Patinggi Hj Abdul Rahman Yakub Petra Jaya Kuching pada Sabtu.
Ketua Polis Bahagian Kuching, ASP Ashmon Bajah dalam kenyataan media pada Ahad berkata, Op Samseng itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BAPT) dengan kerjasama Bahagian Pencegah Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Kuching serta Balai Polis Gita.
“Operasi telah berakhir pada 20 Februari 2022 jam 7 pagi setelah selesai proses dokumentasi. Seramai dua pegawai serta 51 anggota terlibat dalam Operasi Samseng Jalanan yang telah diadakan.
“Daripada jumlah itu, 16 kesalahan tiada lesen memandu, 28 tiada nombor pendaftaran, 15 nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, 12 tiada perlindungan insuran, 15 tidak pamer cukai jalan, 17 cukai jalan tamat tempoh, 15 lampu brek tidak berfungsi, 28 ubahsuai ekzos, 16 ubahsuai struktur peralatan kenderaan, tiga hon tidak berfungsi, 15 tiada cermin sisi dan tiga brek tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Jelasnya lagi, tujuan Operasi Op Samseng Jalanan ini dijalankan bagi mencegah dan membanteras samseng jalanan yang memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan merbahaya.
Sementara itu, tiga lelaki tempatan berumur 17 tahun, 18 tahun dan 19 tahun telah ditahan di Jalan Tun Datuk Patinggi Hj Abdul Rahman Yakub Petra Jaya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.
Mereka ditahan kerana melakukan aksi ‘Superman’ di Jalan Tun Datuk Patinggi Hj Abdul Rahman Yakub Petra Jaya yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Ketiga-tiga mereka telah disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.
Sebanyak 72 kenderaan dan 80 orang telah diperiksa dalam Op Samseng Jalanan.
Bagi kesalahan Seksyen 42(1) 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan boleh didenda RM5,000 hingga RM15,000 dan penjara tidak kurang dari lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.
Tambah ACP Ahsmon lagi, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara merbahaya dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini. -SN