KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,419 dalam satu operasi di pusat hiburan di Tabuan di sini pada Rabu lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu dilaksanakan sekitar jam 12.20 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, dalam operasi itu polis berjaya menahan 21 individu iaitu 17 lelaki dan empat wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut menjumpai dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM37,419 serta menyita harta berjumlah RM43,425,” katanya dalam sidang media di Pusat Media, IPK Sarawak di sini pada Isnin.
Jelas Azman, dadah yang dirampas itu terdiri daripada 46 paket jus ekstasi bernilai RM29,900, 150 biji pil Erimin 5 (RM2,250), 99 bijil pil ekstasi (RM1,485) manakala 25.23 gram ketamin (RM3,784).
Kesemua dadah yang dirampas itu jelas Azman, dapat digunakan seramai 513 penagih dadah.
Mengulas lanjut, hasil saringan air kencing mendapati 19 individu positif dadah jenis Methamphetamin manakala dua lagi suspek berusia 30 dan 40 tahun negatif dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut, enam suspek yang diberkas mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau iaitu berkaitan dadah,” jelasnya.
Ujarnya, daripada 21 individu ditangkap, dua suspek lelaki akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a)/39A(1) ADB 1952, 14 suspek lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 manakala 4 suspek wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Jelasnya, reman ke atas dua suspek di bawah Seksyen 39B ADB 1962 telah diluluskan oleh Majistret Kuching selama lima hari bermula 16 hingga 20 Jun 2022 dan sambungan reman dibenarkan mulai 21 hingga 27 Jun 2022.
Sementara itu, Datuk Mohd Azman berkata pihak polis juga berjaya merampas dadah bernilai RM13,230 serta sitaan harta bernilai RM35,476 dalam satu operasi khas yang diadakan di Betong pada Sabtu lepas.
“Pada 18 Jun 2022 di antara jam 12.00 tengah hari hingga 6.30 Petang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak telah melancarkan satu operasi khas membanteras dadah di daerah Betong.
“Dalam serbuan yang dijalankan di dua kawasan berasingan, di Jalan Tisak dan Beladin, Betong, polis telah berjaya menangkap 18 lelaki dan tiga perempuan berusia dalam lingkungan 18 hingga 54 tahun,” katanya.
Menurut beliau, dari 21 orang tersebut, seorang perempuan disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952, seorang perempuan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, 18) orang lelaki di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan seorang perempuan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Katanya, semakan rekod kesemua suspek mendapati empat mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, manakala dua lagi mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah.
Dalam sidang media sama, Datuk Mohd Azman turut memaklumkan kejayaan polis mematahkan aktiviti pengorekan pasir secara haram susulan penahanan dua lelaki tempatan dan emat warga asing di Perairan Tanjung Kelei, Sarikei pada Sabtu lepas.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kapal korek dengan muatan pasir.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada lesen dan dokumen yang sah daripada Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak untuk melakukan aktiviti tersebut. Nilai rampasan bernilai RM1,202,500.
Dalam perkembangan lain, polis menurut Datuk Mohd Azman juga berjaya membanteras cubaan menyeludup minyak disesel di kawasan Perindustrian Muara Tabuan, Jalan Setia Raja susulan penahanan seorang lelaki pada Ahad.
Turut dirampas sebuah motolori bersama minyak muatan diesel bernilai keseluruhan RM51,750. – SN