Tempatan

Polis Sarawak berjaya rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,419

KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,419 menerusi satu operasi pusat hiburan yang dijalankan di Tabuan di sini, Rabu lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak itu dilaksanakan sekitar jam 12.20 tengah malam hingga 2:00 pagi.

Menurutnya, dalam operasi itu polis berjaya menahan 21 individu iaitu 17 lelaki dan empat wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun.

“Dalam serbuan berkenaan, polis turut menjumpai dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM37,419 serta menyita harta berjumlah RM43,425,” katanya pada sidang media Kejayaan Operasi Khas Dadah di Betong dan Tangkapan Pusat Hiburan di Kuching di Pusat Media, IPK Sarawak di sini, hari ini.

Jelas Azman, dadah yang dirampas itu terdiri daripada 46 paket jus ekstasi bernilai RM29,900, 150 biji pil Erimin 5 (RM2,250), 99 bijil pil ekstasi (RM1,485) manakala 25.23 gram ketamin (RM3,784).

Kesemua dadah yang dirampas itu jelas Azman, dapat digunakan seramai 513 penagih dadah.

Mengulas lanjut, hasil saringan air kencing mendapati 19 individu positif dadah jenis Methamphetamin manakala dua lagi suspek berusia 30 dan 40 tahun negatif dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut, enam suspek yang diberkas mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau iaitu berkaitan dadah,” jelasnya.

Ujarnya, daripada 21 individu ditangkap, dua suspek lelaki akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a)/39A(1) ADB 1952, 14 suspek lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 manakala 4 suspek wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Jelasnya, reman ke atas dua suspek di bawah Seksyen 39B ADB 1962 telah diluluskan oleh Majistret Kuching selama lima hari bermula 16 hingga 20 Jun 2022 dan sambungan reman dibenarkan mulai 21 hingga 27 Jun 2022.

“Salah seorang suspek dituduh di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin tempatan.

“Seramai 18 suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi, kimia dan siasatan dilengkapkan,” jelasnya.

Selain itu, menurut Azman modus operandi yang digunakan dalam jenayah ini ialah suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan.

Katanya, bekalan dadah yang diperolehi akan dijual kepada pengunjung pusat hiburan mengikut permintaan.

Pada masa yang sama, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM3,425 dan sebuah kereta dianggarkan bernilai RM40,000 di bawah Seksyen 25 ADB (Pelucuthakan Harta) 1988.-UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *