Tempatan

Polis tahan lelaki Cina tempatan dan dua wanita Vietnam dalam operasi khas, rampas Dadah berjumlah RM40,540

KUCHING: Seorang lelaki Cina tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibupejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak dalam satu operasi khas di Kuching. 

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintendant Wong Leong Meng, lelaki itu ditahan bersama sejumlah dadah.

“Hasil daripada maklumat susulan dan dipandu arah oleh lelaki berkenaan, pada hari yang sama pihak polis JSJN IPK Sarawak telah membuat satu serbuan di sebuah kediaman apartment di Kuching. 

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah berjaya menahan dua orang perempuan warganegara Vietnam yang berumur 24 tahun dan 33 tahun yang berada di dalam kediaman tersebut. 

“Hasil pemeriksaan ke atas kediaman tersebut telah berjaya menjumpai sejumlah dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah berjaya merampas Jus campuran serbuk ecstacy: 58 paket bernilai RM37,700, Ketamin 13.35 gram bernilai RM2,000, Pil Ecstacy 13biji (5.08 gram) bernilai RM390 dan Erimin 5 30 biji bernilai RM450 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah RM40,540. 

Ujar Superintendant Wong lagi, dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 700 orang penagih.

Polis turut merampas sebuah kereta jenama Proton bersama kunci, kad akses apartment dan menyita wang berjumlah RM6,220. 

Ketiga-tiga (1/L & 2P) telah ditahan reman selama 07 hari bermula 06 April 2022 hingga 12 April 2022 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada lima belas sebatan. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *