Tempatan

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah di Miri

MIRI: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penangkapan tiga suspek dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM219,885 dalam satu operasi khas di sini bermula pada Rabu hingga Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, siri serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 17 hingga 37 tahun.

“Antara rampasan yang dibuat ialah 6,000 gram dadah syabu bernilai RM216,000, dua peket jus ekstasi bernilai RM1,500, 130 biji pil Erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai keseluruhan RM219,885.

“Hasil siasatan polis juga telah menyita dua kereta yang dianggarkan bernilai RM50,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Mohd Azman berkata, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati lelaki berusia 17 tahun dan wanita berusia 22 tahun masing-masing positif dadah jenis Methamphetamine, manakala lelaki berusia 37 tahun negatif.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampu.

Tambah beliau lagi, sindiket pengedaran dadah ini dikesan menjalankan aktiviti mereka sejak tiga bulan lalu.

“Dadah dikirim melalui perkhidmatan kurier oleh ahli sindiket yang berada di Semenanjung Malaysia. Dadah yang dikirim ke Miri akan dibungkus bersama barangan yang lain bagi mengaburi syarikat kurier atau pihak berkuasa.

“Dadah yang diperolehi dipercayai akan diedarkan kepada tokan-tokan di daerah Miri mengikut permintaan,” tambah beliau.

Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Miri pada Khamis di mana dua suspek lelaki direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Mei, manakala suspek wanita direman selama lima hari bermula 19 hingga 23 Mei.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *