KUALA LUMPUR: Pelbagai akta perlu dipinda serta pelbagai kajian terperinci terhadap keberkesanan ketum perlu dilaksanakan sebelum membenarkan pokok ketum ditanam di negara ini sebagai tanaman komersial untuk eksport serta kegunaan perubatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata antaranya pindaan Akta Kanun Tanah Negara dan Seksyen 30 Akta Racun 1952 yang mana ketum mengandungi bahan ‘psychoactive’ boleh menyebabkan leka dan lalai.
“Isu ini (kebenaran menanam ketum) akan dibincang dengan Kabinet dan bagi pihak polis, kita akan akur dengan sebarang keputusan kerajaan, namun banyak prosedur perlu dilalui dan akta yang perlu dipinda.
“Pelbagai aspek perlu dikaji oleh kerajaan antaranya siapa nak tanam, di mana perlu tanam, siapa nak proses, kawasan itu siapa akan menjaga. Perkara ini akan memakan mangsa dan ia serta memerlukan pandangan pakar-pakar berkaitan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, semalam bahawa Kabinet membenarkan perbincangan mengenai kebenaran penanaman ketum dan hemp bagi tujuan perubatan.
Menurut Zahidi, ‘lampu hijau’ ke arah perbincangan itu sudah diberikan minggu lalu dan pihaknya yakin selepas proses perbincangan itu selesai, Kabinet dapat meluluskan penanaman ketum dan hemp ini tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, selain Akta Racun, Akta Kanun Tanah Negara juga perlu dipinda kerana penanaman ketum tidak salah namun untuk dipetik, proses, jual atau eksport, adalah perkara yang salah.
“Perkara itu yang menimbulkan kesukaran kerana undang-undang berkaitan tanah berada dibawah kerajaan negeri. Perkara (akta) itu juga perlu dipinda dan ini memakan banyak proses, maka kita kena tunggu dan lihat,” katanya.
Hingga kini tiada lagi kajian secara klinikal dibuat berkenaan kesan ketum ini dengan yang ada setakat ini adalah ujian praklinikal, yang mana tiada ujian dibuat ke atas manusia lagi atau binatang untuk melihat kesan sampingannya.
“Banyak kajian perlu dibuat, sebagai contoh ada mengatakan kalau tanam ketum kerajaan akan dapat hasil kira-kira RM180 juta setahun, namun itu hanya dari aspek hasil kerana kita perlu lihat kos lain.
“Contohnya buat masa ini di Malaysia, ada kira-kira 130,000 penagih dengan 25 peratus daripadanya (36,000) akan diletakkan di bawah Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Narkotik (PUSPEN).
“Kos kerajaan untuk menampung makan minum seorang penagih sehari adalah RM45 sehari, maka kos untuk setahun mencecah RM500 juta. Itu perlu diambil kira, bukan semudah itu,” katanya.
Tambah Ayob Khan, buat masa ini pihak kerajaan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangasaan (AADK) tidak mempunyai program khas pemulihan bagi penyalahgunaan ketum.
“Ketum ini pada biasanya di utara pada peringkat awal akan digunakan oleh pelajar sekolah. Jadi penagih ketum perlu dihantar di pusat rawatan swasta, jadi siapa nak bayar kos itu. Jadi biarlah Kabinet buat keputusan, kita akan akur,” ujar beliau.-BHARIAN