TANJUNG MANIS: Penyandang kerusi Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab mungkin akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Ia selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi bayangan akan mengekalkan Yusuf pada PRU kali ini.
Beliau mengumumkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Melanggar Raya Samah di Pantai Belawai, Tanjung Manis pada Sabtu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datu Len Talif Salleh serta dif-dif kenamaan yang lain.
Sebelum ini, Premier Sarawak telah memberi bayangan akan mempertaruhkan semula Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato’ Sri Nancy Shukri pada PRU15 dalam majlis di Kuching dan Gedong baru-baru ini.
Yusuf dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada 2018 bagi menggantikan mantan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Abdul Rahman berjaya memenangi kerusi tersebut pada PRU14.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Zohari mencadangkan agar diwujudkan taman karaven di Pantai Belawai dalam usaha menjadikan Belawai seperti ‘Hawaii’.
Katanya, melalui penyediaan kemudahan serta prasarana lain yang lengkap termasuk Anjung Usahawan dan medan selera diyakini akan menarik kedatangan pelancong untuk bercuti di situ sekali gus mengubah wajah Belawai.
Beliau juga bersetuju dengan cadangan membangunkan waterfront bagi mencantikkan lagi Pantai Belawai.
“Kita akan buat kajian teknikal dulu kerana terdapat hakisan di kawasan ini. Selepas itu, kita akan bangunkan kawasan ini.
“Apabila ia siap, ia akan menjadi tarikan kepada trafik dari Kuching dan Miri yang melalui jalan pesisir,” katanya.
Menurut Abang Zohari, peruntukan untuk projek itu juga akan ditambah dari jumlah RM36 juta yang dipohon Datu Len kerana mahu kawasan itu dilengkapi dengan prasarana yang lengkap.
Katannya, impak dari transformasi Pantai Belawai juga akan memberi manfaat kepada penduduk di situ dan sekitarnya kelak. – SN