Tempatan

Premier Sarawak komited jadikan Sarawak peneraju utama hidrogen di pentas dunia

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg komited untuk meletakkan Sarawak di pentas dunia dalam ekonomi hidrogen. 

Katanya, Sarawak kini telah berada di hadapan dan mengetuai peralihan ke arah ekonomi hidrogen di rantau Asia Tenggara, menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak dalam usaha mencapai kehendak dunia yang bebas daripada pelepasan karbon. 

Beliau mendakwa telah dijemput untuk memberi ceramah dan forum tentang ekonomi hidrogen bulan depan di Singapura. 

“Ini membuktikan bahawa Sarawak merupakan pemain utama dalam ekonomi hidrogen dan saya cuba sedaya upaya untuk meletakkan Sarawak di pentas dunia dalam ekonomi ini,” katanya. 

Sehubungan itu katanya, pelancaran stesen pengisian bersepadu satu pencapaian untuk mencapai matlamat ke arah masa depan mampan, tenaga dan ekonomi baharu pada masa depan. 

“Ia merupakan visi saya untuk Sarawak terutamanya dalam mencapai matlamat masa depan yang baik menerusi penubuhan stesen pengisian bersepadu tersebut. 

“Ini untuk melihat stesen minyak jenama PETROS kita sendiri tersergam kukuh menjadi kenyataan,” katanya lagi. 

Tambah Datuk Patinggi Dr Abang Zohari, stesen PETROS ini juga dirancang untuk dibina di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini. 

“Hal ini kerana, stesen ini memainkan peranan penting sekali gus akan diperluaskan dengan adanya pengangkutan awam berteraskan sifar karbon oleh Sarawak Metro. 

“Ini membolehkan Sarawak mencapai visinya untuk menjadi sebuah wilayah ekonomi hijau dan bersih,” jelasnya. 

Ujar beliau lagi pada masa depan, ekonomi bahan api pelbagai termasuklah hidrogen dan pengecasan elektrik ini juga bakal menjadi batu loncatan untuk mempraktikkan kenderaan berasaskan bateri sel bahan api. 

“Situasi ini dijangka memberi manfaat kepada penduduk menggunakan kenderaan elektrik keluaran Elon Musk iaitu Tesla dan berada di jalan raya di wilayah ini,” ujarnya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *