KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Koperasi Kepimpinan Guru Bumiputera Berhad (KOKGBS) yang diketuai oleh Pengerusinya, Ahmad Malie bertempat di Pejabat Premier Sarawak pada Selasa.
Kunjungan hormat berkenaan antara lain bertujuan memaklumkan kepada Premier Sarawak mengenai penubuhan KOKGBS yang telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah koperasi dalam membantu gerakan persatuan guru bumiputera di negeri ini.
Semasa bercakap kepada media selepas kunjungan tersebut, Ahmad Malie memberitahu gerakan persatuan akan membantu Gerakan Persatuan Guru Bumiputera di negeri ini.
“Persatuan ini bertujuan untuk membantu dan mengukuhkan lagi Gerakan Kesatuan Guru-Guru Bumiputera sebagai salah satu organisasi yang mencari dana dan mengukuhkan Kesatuan Guru-Guru Bumiputera Sarawak,” ujarnya.
Sejak penubuhannya pada Julai 2021, koperasi berkenaan mempunyai kira-kira seramai 7000 orang ahli. – SN