PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menetapkan tarikh dan beberapa perkara bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak hari ini.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom memberitahu, hari mengundi telah ditetapkan pada 4 November depan dan hari mengundi awal pada 31 Oktober.
Sementara itu, hari penamaan calon pula akan diadakan pada 21 Oktober depan.
“Bagi maksud PRK DUN N.67 Jepak, Sarawak, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Balai Raya Kampung Jepak, Bintulu,” katanya.
Azmi berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil berkenaan di sini.
Tambahnya lagi, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 21 Oktober 2023 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam, 3 November 2023 (Jumaat).
Menjelas lanjut, Azmi memaklumkan, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi DUN Jepak, Sarawak dibuka bermula dari hari ini, 25 September 2023 (Isnin) yang boleh dibuat secara dalam talian (online).
“Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) ialah pada 18 Oktober 2023 (Rabu); kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) pada 4 Oktober 2023 (Rabu); dan kategori 1C (Agensi / Organisasi) pada 9 Oktober 2023 (Isnin),” ujar beliau lagi.
Foto: SPR
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news