KUCHING: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak telah memperhebatkan usaha bagi membangun serta mempertingkatkan lagi peluang keusahawanan di Sarawak dengan penganjuran Program BizFrancais Sarawak 2023.
Menurut Pengerusinya Dato’ Hazimah Zainuddin, Program tersebut adalah satu platfom untuk memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai perniagaan francais dan mempromosi PERNAS
sebagai sebuah agensi kerajaan yang diberi mandat untuk meningkatkan industri francasi negara yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.
Selain itu, katanya, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
“Dengan adanya program sebegini,
Pernas berharap ia memudahkan para pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan program-program yang ditawarkan oleh Pernas serta mengenali Pernas dengan lebih dekat lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Bizfrancais 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.
Hazimah memaklumkan, bagi tahun ini, Program BizFrancais dilaksanakan di enam buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang, Sabah dan di Sarawak hari ini.
Beliau berkata, PERNAS menyasarkan sebanyak 156 permohonan dengan potensi pembiayaan bernilai RM26.67 juta bagi keenam-enam negeri berkenaan.
“Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak tahun 2019 di mana Pernas telah menganjurkan 16 siri program BizFrancais dan pada tahun ini, Program BizFrancais diadakan di enam enam lokasi iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Sejak Program BizFrancais diperkenalkan, Pernas telah meluluskan pembiayaan
sebanyak RM14.94 juta.
“Manakala untuk usahawan di Sarawak, sejak tahun 2010 sehingga kini, PERNAS telah membiayai sebanyak RM19 juta,” ujarnya lagi.
Dalam majlis berkenaan, turut berlangsung sesi penyampaian cek replika dan sijil penghargaan kepada peserta program Xcelerator PERNAS iaitu program membimbing dan membangunkan usahawan berpotensi ke arah francais dan mendapatkan lesen francais.
Selain itu, PERNAS juga menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada golongan asnaf sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PERNAS Prihatin yang memanfaatkan 200 penerima asnaf di sekitar Sarawak dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak.
Program BizFrancais Sarawak 2023 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas Dato’ Abu Bakar As-Sidek Dato’ Haji Mohd Sidek, Penolong Setiausaha MINTRED Salbiah Saji dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC Nikk Adam Abdillah Kipalli.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/