KUCHING: Program Citrawarna Keluarga Malaysia kekal dilaksanakan pada 24 hingga 27 Februari ini di Kuching namun dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana banyak kebimbangan orang ramai mengenai penganjuran aktiviti berkenaan tatkala peningkatan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Menurutnya, ia bukan sahaja melibatkan orang ramai malah Kerajaan Sarawak sebelum ini turut meminta agar program ini ditunda ke suatu tarikh lain.
“Bagaimanapun program yang julung kali diadakan di negeri ini sudah lama dirancang dan ia tidak boleh ditunda mahupun dibatalkan ekoran jumlah jangkitan COVID-19 setakat ini menunjukkan peningkatan.
“Ini kerana kita perlu menyesuaikan kehendak kesihatan atau keselamatan dan ekonomi. Sekiranya program ini dibatalkan ia turut menjejaskan sektor ekonomi kerana sekarang ini ramai yang sudah memulakan perniagaan mereka.
“Ia sama kalau kita menunda ke suatu tarikh lain, perasaan bimbang akan jangkitan COVID-19 itu akan ada dan ini memerlukan kita berlaku adil terhadap dua sektor berkenaan,” katanya dalam sidang media di Kuching pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kebimbangan terhadap penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.
“Sepertimana yang kita ketahui di Kuching khasnya di kawasan riadah tebingan sungai, program Citrawarna ini ada atau tidak, kawasan berkenaan akan tetap ramai pengunjung,” ujarnya.
Ahli Parlimen Batang Sadong berkata pihaknya sebelum ini turut bermesyuarat dan berbincang mengenai pelaksanaan program tersebut bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berhubung SOP program tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pengunjung yang ingin hadir ke program citrawarna itu untuk melakukan saringan kendiri (COVID-19) bagi mengetahui status kesihatan masing-masing.
“Bagi memastikan keselamatan pengunjung, setiap lokasi akan dikawal ketat oleh agensi yang ditetapkan selain petugas turut diwajibkan melakukan ujian saringan kendiri bagi memastikan diri mereka bebas COVID-19,” jelasnya.
Katanya, berhubung SOP yang lebih ketat itu ia akan dikeluarkan dan dikongsi dengan media dalam masa terdekat selepas pihaknya bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Pada program itu, sebanyak tujuh khemah disediakan yang mampu memuatkan sehingga 350 individu untuk setiap khemah. – SN