Nasional

Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas seluruh negara

PUTRAJAYA: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diperluaskan meliputi kawasan-kawasan Parlimen luar bandar sekali gus memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat pelbagai strata ekonomi.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu adalah permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan kejayaan PJKM yang dilancarkan pada 2 Disember tahun lalu.

Katanya, sehingga 14 Februari lalu, seramai 1,181,376 pengunjung membanjiri PJKM di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatatkan berjumlah lebih dari RM22.85 juta.

“Ia kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan Parlimen luar bandar yang menawarkan barang-barang keperluan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat.

“Pengguna mempunyai peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan lebih murah antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, penyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup dengan penglibatan 113 rakan strategik melaksanakan program PJKM di seluruh negara.

Katanya, faktor kejayaan PJKM juga kerana kerjasama erat antara KPDNHEP dengan agensi-agensi kerajaan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan.

“Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.

“Program ini dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan Parlimen yang terpilih di lokasi-lokasi berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40. Biasanya PJKM diadakan selama dua hari di hujung minggu mengikut negeri seawal dari pukul 8 pagi hingga 4 petang bergantung kepada stok barang yang ada,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *