KOTA SAMARAHAN: Fasa pertama projek Sistem Transit Aliran Automasi (ART) laluan Samarahan ke Kuching dijangka akan dilaksanakan pada tahun ini.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos, laluan itu bermula dari Rembus, Samarahan sejauh 28 kilometer.
Projek laluan ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Metro Sarawak sdn Bhd.
“Fasa pertama projek ART ialah dari Rembus di Jambatan Samarahan atau sebelah Kota Samarahan ke Pusat Bandaraya Kuching sejauh 28 km yang akan bermula sebelum 2022 ini berakhir,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas Dato Peter Minos lagi, projek ART itu akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas harian yang serius di Kota Samarahan.
“Pelaksanaan projek ini sudah semestinya memberikan kegembiraan kepada kami di Kota Samarahan yang digelar sebagai kota ilmu dan kota kesihatan yang berkembang pesat.
“Tambahan pula penduduk Kota Smaarahan tentu teruja dengan projek-projek besar dan ikonik yang akan dilaksanakan seperti ART, hospital besar, bangunan pusat pentadbiran bersepadu baharuyang dalam perancangan dan sebagainya,” jelasnya.
Selain laluan Samarahan hingga ke Exchange Hikmah, satu lagi ialah Laluan Serian (24 km) dari Batu 12 Lebuh Raya Kuching-Serian ke Isthmus.
Perkhidmatan penumpang bagi ART ini dijangka akan diperkenalkan bermula suku keempat 2025.