SARIKEI: Projek bekalan air bersih kawasan Sare dijangka siap pada Ogos ini.
Perkara ini dijelaskan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Len Talif Salleh.
Katanya, projek yang bernilai RM8.85 juta itu dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bawah Program Grid Bekalan Air Sarawak.
“Projek bekalan air tersebut sepatutnya siap April 2022 namun disebabkan kekurangan simen dan pengubahsuaian reka bentuk semasa projek maka ianya mengalami sedikit kelewatan.
“Apabila siap kelak, sebanyak 11 buah rumah panjang kawasan Sare akan mendapat manfaat dari projek bekalan air besih itu nanti,” katanya menerusi status yang dimuat naik dalam facebooknya pada Khamis.
Antara rumah panjang yang akan mendapat manfaat itu ialah Rumah Tiga (Rumah Limping), Rumah Jully (Rumah Julai), Rumah Duyau (Rumah Belil), Rumah Adut (Rumah Garam), Rumah Jambing (Rumah Jaban), Rumah Nila (Rumah Nilai), Rumah Gerinching (Rumah Chak), Rumah Engkasan, Rumah Gani, Rumah Usay (Rumah Usang) dan Rumah Merupie (Rumah Murugoi).
Tambah Datu Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Manis, kerja-kerja pemasangan paip telah pun siap sepenuhnya
“Kerja-kerja pemasangan paip telah pun siap sepenuhnya dan hanya kerja pembinaan tangki bertingkat tinggi dan pam penggalak untuk dipasang,” tambahnya. -SN