KUCHING: Sebanyak 62 pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, keagamaan dan pendidikan menerima sumbangan duit raya berjumlah RM284,000 daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata sumbangan tersebut bertujuan membantu mereka yang berkaitan membuat persiapan Hari Raya.
“Saya berharap PUSAKA dan anak-anak syarikatnya akan terus membuat perancangan supaya kita akan terus dapat berjaya.”
“Dan, dengan itu kita dapat terus meneruskan program sebegini sumbangan derma. Malahan, program-program lain seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dikongsi bersama masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Pusaka dan Anak-Anak Syarikat 2023, di sini, pada Khamis.
Tambah Awang Tengah lagi, inisiatif itu telah dimulakan sejak tahun 1982 merupakan ilham Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika beliau bergelar Ketua Menteri.