KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Venture Plantation Sdn Bhd telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) selama dua tahun bagi mewujudkan ladang buluh secara komersial.
PUSAKA diwakili mantan Pengurus Besar iaitu Datu Hashim Bojet manakala Rich Venture Plantation Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Dato Hii King Chiong telah menandatangani perjanjian berkenaan dalam satu majlis di sini pada Rabu.
Majlis Menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ahli-ahli lembaga pengurusan PUSAKA.
Menurut kenyataan PUSAKA, perjanjian tersebut adalah bagi mewujudkan ladang dan pusat pemprosesan buluh secara komersial untuk menghasilkan produk nilai tambah tinggi seperti produk biomas, arang buluh dan produk pembungkusan makanan.
“PUSAKA akan bertanggungjawab dalam menyediakan konsultasi teknikal serta membekalkan anak benih buluh yang berkualiti kepada Rich Venture Plantation Sdn Bhd.
“Manakala, Rich Venture Plantation Sdn Bhd akan menyediakan kawasan yang sesuai untuk tujuan penanaman buluh, menyediakan tenaga kerja dan prasarana yang berkaitan bagi menjayakan operasi tersebut serta mendapatkan kelulusan yang berkaitan bagi memastikan objektif penubuhan ladang buluh tersebut tercapai,” katanya.
Foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/