KUCHING: Susulan peningkatan kes Rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengingatkan orang awam untuk sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan Rabies.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Ooi Choo Huck berkata, orang awam perlu mengambil tindakan segera sekiranya digigit atau dicakar haiwan atau terkena air liur haiwan.
“Tindakan yang perlu diambil sekiranya digigit atau dicakar haiwan atau terkena air liur haiwan ialah luka mesti dicuci segera menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit serta segera dapatkan rawatan di post-bite clinic atau mana-mana fasiliti kesihatan yang berhampiran.
“Mereka juga perlu pastikan pengambilan vaksin anti-rabies yang lengkap mengikut temujanji yang diberikan oleh pengamal perubatan; dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar sama ada yang hidup atau mati serta laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut Dr. Ooi lagi, JKN Sarawak telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi termasuk DVS Sarawak bagi mengukuhkan kerjasama dalam menangani penularan Rabies di Sarawak.
Katanya, tindakan yang telah diambil oleh JKN Sarawak antaranya ialah terlibat dalam penganjuran program vaksinasi Rabies bagi anjing (mass vaccination) di lokasi yang dikesan positif Rabies dalam kalangan haiwan dan juga meningkatkan kesedaran awam berkenaan Rabies.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news