Tempatan

Rajang Delta Development Agency pacu pembangunan wilayah tengah Sarawak

KUCHING: Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Rajang Delta Development Agency yang akan menumpukan kepada pembangunan di wilayah tengah Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata agensi itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Katanya, selain Kuala Rajang, kawasan Rajang Delta itu turut mencakupi kawasan Daro, Pulau Bruit, Mukah termasuk Jemoreng.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa berucap pada Majlis Penangguhan Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

“Kita juga tubuhkan di Betong. Saya minta (Datuk Amar) Douglas carikan sempadannya. Kabong, Kelaka termasuk Meludam,” katanya semasa berucap.

Menurut Yang Dipertua PBB Sarawak itu, penubuhan agensi itu dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas positif dari rakyat mengenai kejayaan agensi-agensi lain seperti Upper Rajang Development Agency (URDA), Highland Development Agency (HDA), Northern Region Development Agency (NRDA), Sri Aman Development Agency (SADA) dan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA).

“Hasil dari itu, terdapat permintaan untuk kita menubuhkannya di kawasan luar bandar. Sebab itu kita bangunkan Greater Kuching, Betong dan Rajang Delta.

“Kita sudah ada Upper Rajang dan kini Rajang Delta untuk mereka mengkoordnasi pembangunan yang menampakkkan kesannya kepada akar umbi,” katanya semasa mengulas perkara sama dalam sidang media.

Tambahnya, agensi itu tidak dilaksanakan di kawasan bandar kerana semua fasiliti sudah tersedia yang diuruskan oleh majlis perbandaran.

Menjelas mengenai “Greater Kuching”, Premier Sarawak berkata kawasan di bawah agensi itu akan melibatkan Serian, Bau dan Lundu.

“Ini adalah strategi baru kita. Disebabkan kesan yang amat positif, bukan sahaja dari sudut pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan modal insan melalui latihan yang akan kita berikan kelak di kawasan terbabit,” tambahnya lagi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *