Nasional

Ralat keputusan, kit saringan kendiri diuji

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengendalikan ujian terhadap kit saringan kendiri di pasaran yang dikesan mempunyai kualiti dan ketepatan meragukan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengakui pihaknya maklum mengenai rungutan dan aduan orang ramai terhadap ralat keputusan apabila membuat saringan menggunakan kit saringan kendiri yang dijual di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, KKM mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk memanggil semua pembekal kit ujian kendiri bagi meneliti isu berkenaan.

“Memang kita ambil maklum mengenai keraguan terhadap kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur yang dijual di pasaran kerana dikatakan memberi keputusan negatif palsu. 

“Justeru, saya arahkan MDA supaya menyampaikan saranan kepada pembekal untuk meminta maklumat jaminan kualiti daripada pengilang atau pengeluar kit saringan.

“Mereka juga harus semak sama ada proses jaminan kualiti bagi setiap produk kit saringan kendiri itu dibuat dari semasa ke semasa.

“Pada ketika ia diluluskan MDA, ketepatan mungkin 99 peratus tetapi kadar itu mungkin merosot dalam tempoh tertentu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan peningkatan kes harian, pelbagai pihak mula meluahkan rungutan apabila kit saringan kendiri yang dibeli di pasaran memberikan keputusan ujian meragukan.

Keputusan yang dikhuatiri negatif palsu itu dikaitkan dengan sesetengah jenama kit ujian kendiri, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai risiko jangkitan COVID-19 tanpa sedar dalam kalangan masyarakat.

Khairy berkata, hasil tindakan MDA mengenai isu kit saringan kendiri yang meragukan di pasaran akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas keseluruhan proses itu selesai.-BERITA HARIAN 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *