Tempatan Rampasan dadah kedua terbesar di Sibu, suspek berusia 29 tahun diberkas

Rampasan dadah kedua terbesar di Sibu, suspek berusia 29 tahun diberkas

25

SIBU: Polis Sarawak berjaya merampas pelbagai dadah bernilai RM643,157.16 di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya dan sebuah pangsapuri di Lorong Sena di sini.

Dalam serbuan jam 7.30 malam Khamis lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak berjaya menangkap seorang pengedar dadah berusia 29 tahun berasal dari Sibu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, rampasan dadah itu adalah kedua terbesar di Sarawak setakat ini.

“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif Amphetamine atau Methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau iaitu Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (kes tahun 2014, hukuman empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan pada 2018).

“Seksyen 12(2) ADB 1952 (kes tahun 2017, hukuman tujuh tahun penjara pada 2017) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (kes tahun 2017, hukuman empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan pada 2018),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Azman berkata, dadah bernilai RM643,157.16 itu terdiri daripada 5,940.11 gram syabu (Methamphetamine), 4,407.24 gram (ketamin), 1,830 gram (erimin 5), 225 gram (serbuk jus ektasi), 760 gram (pil ekstasi) dan 960 gram Magic Mushroom (psilocybin).

Katanya, keseluruhan rampasan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 50,423 orang atau 50,423 kali penggunaan.

“Modus operandi sindiket itu bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri. Bekalan dadah diperoleh daripada pengedar dadah di Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier.

“Suspek menjadikan sebuah rumah pangsapuri sebagai stor penyimpanan dadah yang turut digunakan sebagai tempat pembungkusan semula dadah kepada peket-peket lebih kecil.

“Setelah menerima arahan daripada ketuanya, suspek meletakkan dadah itu di tepi jalan sekitar Sibu. Setelah dadah itu diletakkan, suspek memaklumkan kepada ketuanya seterusnya menyuruh pelanggan mengambil dadah tersebut,” jelasnya.

Katanya, suspek juga menghantar dadah melalui kiriman bas ekspres ke Bintulu, Miri dan Kuching.

Berdasarkan intipan katanya, suspek dikatakan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dengan upah sebanyak RM1,000 seminggu.

Jelasnya, sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM55,000 turut disita di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 15 sebatan bagi kesalahan Seksyen 39B ADB 1952.

“Hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 bagi kesalahan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. Suspek kini dalam tahanan reman 117 KPJ mulai 3 hingga 7 Disember ini,” jelasnya.

Azman berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2022,  JSJN PDRM Sarawak merekodkan seramai 8,478 orang tangkapan termasuk 692 tokan dadah dan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM10,440,052.

“PDRM khususnya JSJN terus komited membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan negara dan masyarakat kekal selamat, aman dan sejahtera.”

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh disalurkan menerusi WhatsApp Hotline JSJN PDRM 012-2087222. – SN

#sarawaknews

#hanyauntuksarawak

Previous articlePerdana Menteri secara prinsip setuju penubuhan Tabung Amanah Negeri -Abang Jo
Next articleLantikan TPM & menteri penuh bantu jana pendapatan Sarawak
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here