KUCHING: Raptai penuh bersempena dengan perhimpunan dan perarakan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka berlangsung meriah dengan para peserta berpakaian lengkap di Padang Merdeka di sini pada Khamis.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab acara berkenaan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, peserta yang hadir kelihatan bersemangat dalam raptai yang masuk hari ketiga itu.
“Saya berpuas hati melihat apa yang telah dipersembahkan. Walau bagaimanapun masih banyak yang boleh diperhalusi dan diperbaiki lagi,” katanya kepada media selepas menyaksikan raptai penuh berkenaan di sini pada Khamis.
Sesi raptai penuh berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Perarakan tersebut akan diadakan pada Sabtu ini melibatkan seramai lebih 3,000 peserta daripada 60 kontinjen yang terdiri daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai etnik di Sarawak.
Selain acara tersebut, acara lain yang bakal diadakan pada hari yang sama kelak ialah Majlis Jamuan Negeri, Konsert Rakyat dan Persembahan Bunga Api.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/