KOTA SAMARAHAN: Masyarakat di sini diseru mengambil peluang menyertai hampir 30 program yang dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Kahiruddin Md Nasir berkata, program-program berkenaan banyak memberi manfaat kepada masyarakat dari peringkat kanak-kanak sehingga ke peringkat dewasa.
“Program tersebut termasuk Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAK), Program Kemahiran (PKEM) dan Program Komuniti (PKOM) yang sudah tentu berupaya mengerak dan membangunkan minda masyarakat madani,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Sambutan Hari Kebesaran Islam, Ulul Quran sempena Sambutan Maal Hijrah 1455H di Dewan Masyarakat Kampung Moyan Laut pada Rabu.
Sementara itu, Kahiruddin menzahirkan rasa bangga atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para peserta program tersebut dalam mempelajari ilmu Al-Quran.
“Sudah pasti usaha berterusan para peserta dengan permulaan pelajaran melalui Iqrak dan sehingga berjaya menguasai ilmu Al-Quran dengan baik dan lancar dibimbing oleh Pemaju Masyarakat Kelas Pembangunan Insan KEMAS,” katanya.
Tambah beliau lagi, amalan membaca Al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan harian amatlah dituntut.
“Banyak kelebihan serta keistimewaan yang Allah kurniakan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W bersesuaian kemuliaan Al-Quran itu sendiri,” ujarnya lagi.
Program anjuran Unit Pembangunan Insan KEMAS bahagian Samarahan itu telah diadakan dalam suasana yang gilang gemilang serta meriah yang kebanyakkannya disertai oleh kaum wanita iaitu suri rumah, pesara serta warga emas.
Peserta yang mengambil bahagian dalam program Iqrak Ulul Quran pada kali ini adalah seramai 250 orang dari 25 buah kelas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya dan Muara Tuang.
Program Hari Kebesaran Islam adalah satu aktiviti yang di perkenalkan oleh Bahagian Komuniti KEMAS, kepada masyarakat bagi memastikan mereka sedar serta mengamalkan panduan serta ikhtibar daripada program tersebut.
Manakala, Awal Muharam atau Maal Hijrah merupakan satu hari yang amat penting kerana menandakan peristiwa hijrah yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan yang dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Mekah ke Kota Madinah tanggal 622 Masihi.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Wakil Pegawai Daerah Asajaya Hasanah Bujang, Ayahanda Temenggong Chek Bujang, Ketua Kaum Kampung Moyan Laut Hulu Ramli Sahari, Pengerusi Kelas Program Pembangunan Insan Parlimen Kota Samarahan Jama Baylai, ketua-ketua kaum, pegawai-pegawai KEMAS serta penduduk kampung.
Sumber: KEMAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/