Nasional

Rekod baharu jika anak bulan Syawal dapat dilihat pada Khamis ini

dibuat dengan bantuan alat cerapan kemahiran pencerap dan cuaca yang baik

KUALA LUMPUR: Jabatan Mufti Pulau Pinang menjangkakan anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Syawal dapat dilihat Khamis ini, dengan bantuan alat cerapan, kemahiran pencerap dan cuaca yang baik.

Memetik Berita Harian pada Sabtu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jika itu berlaku, ia akan menjadi rekod baharu penampakan anak bulan di negara ini.

“Rekod penampakan hilal (bulan baharu) terbaik pernah direkodkan di Pusat Falak Sheikh Tahir setakat ini adalah hilal Rabiulawal 1444 Hijrah pada ketinggian lima darjah 44 minit dan jarak lengkung enam darjah enam minit.

“Namun sekiranya ketika cerapan pada petang Khamis ini hilal boleh kelihatan pada ketinggian dua darjah 12 minit dan jarak lengkung dua darjah 39 minit sahaja, satu rekod baharu akan dicatat,” katanya. 

Sebelum ini, timbul persoalan sama ada 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, namun Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memaklumkan pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi.

Ia dibuat selepas mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja.

Wan Salim yang turut memuat naik kenyataan di laman Facebook rasminya juga berkata, anak bulan mungkin sukar kelihatan ketika cerapan namun tidak mustahil berikutan bulan baharu sudah berada di atas ufuk.

“Dengan fenomena Gerhana Matahari Separa pada tengah hari cerapan itu yang disusuli dengan penghubung, fasa bulan baharu pun bermula sejurus kemudian.

“Namun, data bulan sewaktu cerapan menunjukkan bulan belum memenuhi kedua-dua syarat kebolehnampakan yang ditetapkan walaupun fasa bulan baharu sudah bermula,” katanya.

Menerusi kaedah rukyah dan hisab, katanya, walaupun data hitungan menunjukkan keadaan sedemikian, keputusan cerapan tetap diambil kira sebagaimana yang berlaku ketika penentuan Syawal 1443H.

Jelas beliau lagi, data hitungan anak bulan yang memenuhi syarat tetap diambil kira walaupun anak bulan gagal dilihat ketika cerapan.

“Kedua-dua kaedah ini saling melengkapi dan mengimbangi antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Islam perlu bersabar dan berlapang dada bagi memahami serta mengikuti proses penetapan hukum bagi tarikh 1 Syawal sehingga selesai.

Exit mobile version