Nasional

RM5 bilion untuk jalan negeri turut merangkumi pembaikan akibat banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri diberi kelonggaran dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2022 untuk turut merangkumi pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemberian itu adalah melalui pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Ia bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian dan pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembetung serta cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Persekutuan amat prihatin terhadap situasi yang dihadapi kerajaan negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ia adalah antara lima penambahbaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pemberian dan sokongan kepada negeri bagi 2022.

Katanya perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri Menteri Besar dan wakil Ketua Menteri dari semua negeri di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju mengkaji semula pemberian MARRIS supaya peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan memperluas skop perbelanjaan MARRIS termasuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan pemberian MARRIS.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan akan meningkatkan peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

“Insentif kewangan kepada kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan serta marin,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju berhubung caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (pemberian TAHAP).

Pada masa sama, satu jawatankuasa akan ditubuhkan, dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan pemberian TAHAP.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

“Langkah ini bagi memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Justeru, kerajaan Persekutuan berharap pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutama dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.-BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *