KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti merupakan antara usul yang akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ia bergantung kepada keputusan pembentangan RUU itu yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Jika ia (Antilompat Parti) akan dijadikan RUU, maka ia akan dibahas (DUN Sarawak) sebab itu saya kata ada beberapa RUU yang menarik.
“Ia mungkin akan dibentangkan dalam DUN tetapi akan ada beberapa RUU lain yang menarik juga akan dibentangkan.
“Saya tidak ada perincian mengenai RUU tersebut tetapi persidangan pada tahun ini sama ada bulan Mei atau November akan menyaksikan RUU yang sangat menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media dalam sidang media Spartan Race 2022 di Bangunan Baitulmakmur 2, Kuching pada Isnin.
Terdahulu Dato Sri Dr Wan Junaidi menjelaskan apabila RUU tersebut diluluskan, ia juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Negeri selepas mendapat perkenan daripada ketua negeri menerusi perbincangan bersama Yang di-Pertuan Agong.
Dewan Rakyat pada 11 April lalu, bersetuju untuk menyerahkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.
Usul kerajaan itu dikemukakan Dato Sri Dr Wan Junaidi dan dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon.