Tempatan

RUU Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak akan dibentang November ini

KUCHING: Rang undang-undang (RUU) bagi mewujudkan satu ordinan dana kekayaan berdaulat di Sarawak akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg berkata dana yang bermodelkan Dana Pencen Kerajaan Global Norway akan mula beroperasi pada 2024 selepas RUU tersebut diluluskan.

“Sarawak kini memiliki rizab kewangan terbesar berbanding negeri lain yang harus dilaburkan semula untuk memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Pertambahan kepada simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya bagi memberi pulangan hasil yang memberi manfaat kepada generasi akan datang melalui sebuah dana yang dinamakan dana kekayaan berdaulat,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak 2022 pada Selasa.

Menurutnya, masa depan Sarawak amat cerah dengan memiliki banyak sumber yang boleh digunakan untuk menjadikan negeri itu kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara sekali gus menjadi penarik kedatangan ramai pelabur ke Bumi Kenyalang kerana kestabilan politik dan perpaduan rakyatnya.

Ujarnya, masa depan yang terjamin ini akan turut dinikmati oleh kaum Dayak di Sarawak dengan menambah nilai tanah adat iaitu aset besar yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan sama ada melalui perniagaan pertanian, agroperhutanan atau keusahawanan lain.

Dalam masa sama, Abang Zohari berkata kelulusan pindaan Kanun Tanah Negeri dan Ordinan Perhutanan langkah dalam mempersiapkan Sarawak menuju ekonomi baharu melibatkan penjagaan alam sekitar serta perniagaan karbon berpotensi.

“Saya yakin langkah-langkah yang telah diperkenal oleh Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini untuk memperkukuh ekonomi negeri ini, termasuk langkah-langkah yang terbaharu ini, akan menambahkan lagi hasil negeri Sarawak,” katanya.

Beliau juga menyeru masyarakat Dayak agar meraikan Gawai dengan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 dan kekal berhati-hati dalam perjalanan menuju destinasi.

“Saya amat berharap musim perayaan ini disambut dalam suasana yang santai yang boleh menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuh perpaduan serta iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini,” katanya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *