Tempatan

RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 Beri Manfaat Kepada Bumiputera Sarawak

KUCHING: Pada 14 Disember 2021, Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan), 2021 yang antara lain meminda Fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, pindaan ini memberi kuasa kepada negeri untuk menentukan siapa Bumiputera Sarawak melalui pemakaian undang-undang negeri.

Katanya lagi, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan tarikh kuatkuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] ini pada 11 Februari 2022. 

Pada masa ini, takrifan Bumiputera Sarawak ditentukan dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Tafsiran, 2005 [Cap. 61] dan dengan adanya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 161A negeri diberi kuasa untuk menentukan kaum mana yang akan dianggap sebagai pribumi kepada negeri dengan pemakaian undang-undang negeri dan dicadangkan supaya Ordinan Tafsiran, 2005 [Cap. 61] dipinda. 

“Justeru, 12 kaum tambahan termasuk dalam cadangan pindaan ini iaitu Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa’ban, Tatau, Tring dan Vaie. 

“Selain itu, di bawah cadangan pindaan ini, kanak-kanak daripada perkahwinan campur boleh dianggap sebagai Bumiputera walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapanya adalah Bumiputera, tertakluk kepada syarat dan keperluan yang akan dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). 

“Pindaan ini (ke atas kanak-kanak daripada perkahwinan campur) adalah tepat pada masanya dan satu jalan ke hadapan untuk Sarawak di mana perkahwinan campur adalah biasa,” katanya semasa membentangkan RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 bagi bacaan kedua di Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ke-19  di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa. 

Jelasnya lagi, dengan pindaan ini seorang kanak-kanak akan dianggap sebagai Bumiputera asalkan salah satu ibu bapanya adalah Bumiputera.

Pindaan ini amat penting dan bersejarah terutamanya kepada anak-anak dalam perkahwinan campur kerana menyelesaikan masalah undang-undang yang serius kepada ramai anak-anak campuran ibu bapa asli dan bukan asli dalam bidang pewarisan dan pemindahan tanah asal dan banyak lagi perkara lain.

Dalam pada itu, Datuk Sharifah Hasidah menambah, pindaan ini juga termasuk Seksyen 63 yang memberi kuasa kepada MMKN untuk meminda jadual sekiranya terdapat penambahan masa hadapan yang disenaraikan dalam jadual.

“Kerajaan sedar bahawa pindaan ini mungkin terbuka untuk dieksploitasi dan penyalahgunaan. 

“Bagaimanapun, memandangkan ini melalui MMKN yang akan mengenakan syarat dan keperluan tambahan sebelum seseorang itu diiktiraf sebagai anak jati Sarawak. 

“Ini adalah tambahan kepada syarat sedia ada bahawa dia mestilah warganegara dan anak kandung dari anak jati Sarawak,” tambahnya. 

Walaupun definisi Bumiputera kini lebih luas, dengan syarat dan keperluan yang dikenakan MMKN peruntukan dalam pindaan baharu itu akan dilindungi daripada penyalahgunaan atau dieksploitasi.

Pindaan ini juga tidak akan mempunyai apa-apa kesan ke atas mana-mana hak dan keistimewaan yang dibuat atau berlaku sebelum tarikh mula berkuat kuasa ordinan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *