Tempatan

SABERKAS terus mencorak kepimpinan belia Sarawak pada hari ini

KUCHING: Penubuhan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) pada 19 Mac 1973, sekitar 50 tahun yang lepas telah banyak mencorakkan kepimpinan belia di Sarawak.

Penasihat SABERKAS Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhannya turut mempengaruhi lanskap politik Bumi Kenyalang ini.

“Penubuhan SABERKAS merupakan satu idea yang sangat cemerlang dan pragmatik, dalam usaha kerajaan negeri menggembleng tenaga, minat serta kecenderungan anak muda Sarawak dalam perkara yang bermanfaat dan menjurus kepada pengukuhan perpaduan negeri.

“SABERKAS bermula 1973 telah melalui banyak transisi kepimpinan selaras dengan perubahan minat, tuntutan semasa dan kecenderungan belia hari ini.

“Inilah peranan SABERKAS untuk terus menyantuni minat dan keperluan belia di Sarawak dari dahulu hingga kini.

“Bermula era 1970-an sehinggalah kini, sangat banyak pemimpin yang telah lahir dari kilang belia SABERKAS.

“Bermula dari pimpinan belia, pegawai swasta dan kerajaan, ketua-ketua jabatan, Setiausaha Politik, pemimpin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sehinggalah kepada kepimpinan tertinggi negeri dan negara kita, juga kebanyakannya lahir dari produk SABERKAS yang kita sayangi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Presiden SABERKAS Negeri Sarawak Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) SABERKAS Negeri Sarawak ke-17 di Hotel Pullman di sini pada Selasa.

Premier Sarawak turut menambah, transisi juga banyak berlaku dalam pengisian program SABERKAS.

“Dahulunya SABERKAS sangat terkenal dengan program-program berteraskan pertanian, perikanan, kem motivasi dan kepimpinan, SABERKAS Idol dan juga Larian SABERKAS yang begitu popular suatu ketika dahulu.

“Namun kini, pengisian program juga telah mengalami transisi sewajarnya,” ujar Abang Johari lagi.

Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) SABERKAS Negeri Sarawak ke-17 itu dihadiri oelh seramai 390 perwakilan/pemerhati yang mewakili 78 buah SABERKAS Cawangan beserta 64 orang Exco dan Ex-Officio SABERKAS Negeri Sarawak.

Ia bakal menyaksikan pemilihan kepada pimpinan baharu SABERKAS bagi Sesi 2023-2026 dengan mensasarkan penglibatan lebih ramai golongan belia berusia 39 tahun ke bawah sebagai pemegang jawatan utama kelak.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *