Nasional

Saguhati jemaah umrah dikreditkan 18 Februari ini – Idris Ahmad

KUALA LUMPUR: Saguhati kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron akan dikreditkan pada 18 Februari ini menerusi akaun simpanan Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata ia melibatkan sejumlah 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima saguhati berdasarkan senarai nama yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Daripada jumlah tersebut, pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

“Pengkreditan terus saguhati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan Tabung Haji (TH) akan dibuat pada hari Jumaat, 18 Februari 2022.

“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, para jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.

Beliau pada masa sama memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran itu dipermudahkan semaksimanya supaya tidak berlaku kesulitan. -ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *