Tempatan

Sanib Said buat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PBDSB

KUCHING: Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Sanib Said membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDSB) Andrew Bugie Ipang yang didakwa memalukan beliau mengenai kaedah penyelidikan tentang sejarah Negeri Santubong.

Menurut beliau, kenyataan Andrew itu telah memalukannya sebagai sejarawan yan berkelayakan dalam bidang tersebut.

“Saya dapati kenyataan beliau (Andrew) telah memalukan saya sebagai sejarawan berkelayakan dengan mempersoal kelayakan saya membuat penyelidikan dan menulis tentang sejarah Negeri Santubong sebagai negeri Melayu tertua di dunia yang terletak di Sarawak hari ini.

“Beliau juga persoalkan kebolehan saya mengenai kaedah penyelidikan saya yakni seseorang yang telah menjalani pengajian hingga ke ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya yang juga tertua di Malaysia serta antara teratas di Asia Tenggara,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Balai Polis Sentral di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Andrew telah mempersoalkan mekanisme penyelidikan yang digunakan oleh Sanib yang membuktikan bahawa Sarawak negeri Melayu kedua tertua di dunia, yang disiarkan menerusi The Borneo Post pada 7 Julai lalu.

Dalam kenyataan itu, Andrew mendakwa bahawa ia merupakan bukti pendapat beliau sendiri yang merupakan hasil daripada kepercayaan palsu untuk kepentingan sendiri.

Tegas beliau lagi, sebelum ini beliau telah menghasilkan sebuah buku yang diterbitkan oleh Universiti Oxford pada tahun 1989 dan ini telah menunjukkan kreadibilitinya dalam bidang pengkajian di peringkat antarabangsa.

Datuk Sanib turut mengulas mengenai kenyataan Andrew yang dikatakan menimbulkan keresahan di kalangan penduduk tempatan kerana berkaitan perkauman.

“Ini tidak betul dan dalam buku saya bermula dari ijazah sarjana muda hingga PhD semuanya mengenai Melayu dan saya tidak menulis tentang suku kaum lain di Sarawak kerana ia sensitif.

“Sebab itu saya tidak buat, namun apabila saya menulis tentang Melayu iaitu bangsa saya sendiri, mereka berasa sensitif dengan menuduh dan menghina saya.

“Ia merupakan tuduhan yang sangat keterlaluan dan oleh itu laporan polis telah dibuat agar pihak terbabit mendapat tindakan sewajarnya,” jelas beliau

Tegas Sanib lagi, beliau mengkaji bangsanya sendiri kerana ia merupakan kebebasan bersuara.

Sebelum ini beliau tidak pernah menyentuh isu kaum lain dalam kerja penyelidikan beliau dan penerbitan buku.

Justeru, beliau berharap pihak berkenaan berhenti mengutuk dan mencaci dalam menjaga keharmonian kaum di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *