KUCHING: Sarawak bakal menjalankan kajian terperinci bagi memudahkan perkhidmatan pengangkutan dari negara jiran Indonesia iaitu Pontianak, Kalimantan ke Sarawak sebagai usaha menyokong sektor pelancongan perubatan di sini.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak sama ada perkara itu dapat diselesaikan setelah mengambil maklum kebanyakan yang datang mendapatkan rawatan di Sarawak kebanyakannya dari Pontianak.
“Kita turut mengakui masalah itu bertambah buruk sejak sempadan ditutup akibat pandemik COVID-19.
“Akibat penutupan sempadan itu juga, pengangkutan dari Pontianak ke Kuching tidak boleh berulang-alik dari Kuching ke Pontianak,” katanya dalam sidang media hari ketiga Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2022 di Kampung Budaya Sarawak pada Ahad.
Sebelum ini, pemberita dari Pontianak Post telah memaklumkan juga kepada beliau bahawa sempadan Sarawak-Indonesia dibuka semula sejak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, keadaan masih sukar bagi penduduk Pontianak kerana tidak disediakan pengangkutan awam seperti bas dan pesawat untuk ke sini.
Menjelas lanjut, Abdul Karim berkata sebelum berlakunya penularan wabak COVID-19, sektor pelancongan perubatan negeri meningkat dengan kebanyakannya adalah mereka yang datang dari Indonesia.
“Pada 2019, mereka yang mendapatkan rawatan perubatan di Sarawak berjumlah 47,000 orang.
“Angka tersebut merupakan jumlah yang baik kerana menjadi kebiasaan mereka untuk datang bersama beberapa ahli keluarga yang lain serta melanjutkan rancangan untuk tinggal di sini beberapa hari sebelum pulang.
“Perkara ini bagus untuk ekonomi terutama industri (pelancongan),” ulasnya lanjut. – SN