KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menambah pendapatan menerusi beberapa pelaksanaan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang akan membawa Sarawak ke era yang lebih gemilang pada tahun akan datang.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini secara tidak langsung dapat mengenal pasti beberapa sektor yang harud diperbaiki dan yang akan memberi pulangan kepada Sarawak menerusi hasilnya.
“Kerjasama perkhidmatan awam dan pimpinan negeri sangatlah erat hingga kita menghadapi pandemik yang mana kita mengenal pasti hala tuju Sarawak selepas COVID-19 untuk memulihkan prestasi ekonomi kita,” katanya.
Justeru, kerjasama antara penjawat awam dan pemimpin kerajaan boleh membawa kepada keadaan yang lebih baik terutamanya daripada perspektif pembangunan ekonomi negeri ini ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga yakin Sarawak akan menajdi sebuah negeri maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Inilah harapan kita bersama berteraskan tema ‘begulai sejalai’ dan dalam semangat demikian kita nampak kita dalam satu keadaan yang begitu meriah dengan pakaian kita yang berlainan.
“Pendekatan ini akan mencipta kekayaan kepada budaya kita (memperkayakan budaya) dan apabila budaya kita kaya, insha Allah Sarawak pun akan menjadi negeri yang kaya,” ujarnya.
Beliau turut berharap pada tahun-tahun akan datang Sarawak akan sentiasa dalam keadaan yang makmur dan sejahtera dari tahun ke tahun akan beruabah ke arah kemajuan.