KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan Sarawak tidak akan meletakkan had antara wanita dan lelaki dalam menerajui kepimpinan organisasi di negeri ini.
Sebaliknya, jelas beliau, kepimpinan wanita dan lelaki akan diletakkan setaraf, berdasarkan keupayaan mereka.
“Jika orang pandai tidak kira lelaki atau wanita, dia harus diletakkan di sana (pemimpin organisasi).
“Jadi tiada lagi berdasarkan agama dan jantina, itulah masa depan kerana landskap akan berubah,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena penutupan Sarawak Women of Tomorrow Bootcamp di Kuching pada Selasa.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, keutamaan terhadap lelaki berbanding wanita untuk menerajui kepimpinan kini sudah tidak relevan.
Sebaliknya, apa yang penting sekarang ialah keupayaan seseorang untuk memimpin.
“Sekarang memanglah, konsep konvensional namun masa akan tiba, konsep ini tidak akan lagi relevan tetapi berdasarkan siapa yang dapat membawa perubahan dan meningkatkan standard hidup masyarakat.
“Apa yang saya katakan adalah jantina bukan satu isu, ia adalah orang, watak, pengetahuan dan kesediaannya untuk meneroka idea baharu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Sarawak sedang berusaha membangunkan bakat khususnya berasaskan teknologi dan digitalisasi, tanpa mengira jantina.
Katanya, ia juga selaras dengan inisiatif kerajaan dalam meneroka idea-idea baharu sehingga tahun 2030 seperti membabitkan pembangunan infrastruktur, tenaga, air, teknologi maklumat, gentian optik dan jalan.
“Jika boleh, Sarawak bercita-cita menjadi peneraju dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
“Sarawak mempunyai sumber dan satu-satunya perkara yang kita perlukan ialah bakat, jadi kita kena tingkatkan pembangunan bakat,” katanya. – SN