Tempatan

Sarawak Berjaya Tarik Pelaburan Luar Negara Dalam Pengeluaran Tenaga Diperbaharui

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan lagi parti kampung sebaliknya telah melangkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia hari ini.

Menurut Yang di Pertua PBB Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini berlaku apabila Belanda menjemput Premier Sarawak bercakap dalam Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, Belanda baru-baru ini.

Jemputan ini dibuat selepas melihat potensi Sarawak dalam pengeluaran tenaga diperbaharui seperti hidrogen dan karbon.

“Hari ini tanya kepada Datuk Amar Awang Tengah dan Datuk Amar Douglas Uggah yang mana orang luar kerap datang ke Sarawak.

“Baru-baru ini Duta Jerman telah datang ke Sarawak diikuti, wakil dari Korea dan Belgium. Mereka semua bercakap hal berkaitan tenaga.

“Malahan, wakil Korea beritahu mereka hendak menyimpan karbon di Sarawak.

“Saya kata, ok. Kenapa tidak? Kita akan belajar dari situ dan ini akan menjadi pendapatan kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pendapatan ini mungkin lebih daripada SST.

Jelas beliau lagi, dengan melihat potensi penambahan pendapatan Sarawak pada masa akan datang dicadangkan penubuhan Dana Berdaulat untuk anak-anak rakyat Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Premier Sarawak berkata, kejayaan Sarawak memperuntukan bajet setiap tahun melebihi RM10 bilion dalam tempoh lima tahun telah menyebabkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menyasarkan Sarawak akan bankrap.

Ujar beliau lagi, sehingga ke hari ini dan selepas tiga tahun, ekonomi Sarawak masih terus membangun dan maju.

“DAP kata kita bankrap kerana peruntukan yang saya beri RM10 bilion satu tahun.

“Dalam bajet (Sarawak) tidak pernah bajet kita melebihi RM10 bilion.

“5 tahun belum bankrap. Bahkan rating agensi antarabangsa telah memberi kita )sarawak) 3A dan kini masih 3A,” ujar beliau lagi.

Malah, peruntukan bajet yang besar ini digunakan untuk membangunkan Sarawak khususnya kawasan luar bandar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *