KUCHING: Sarawak berjaya meningkatkan pembangunan ekonomi negeri melalui transformasi dalam beberapa sektor sejak permulaan agenda ekonomi digital pada 2018.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor itu termasuk pertanian, industri kelapa sawit, e-dagang, kewangan dan teknologi kewangan, kerajaan digital, bandar pintar, pelancongan, pembuatan dan industri perkhidmatan.
“Bagi melaksanakan agenda ekonomi digital ini, pada tahun 2018 kerajaan Sarawak telah menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di bawah Ordinan Lembaga Multimedia Sarawak 2017.
“Ia (SMA) adalah sebuah badan kawal selia untuk menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan komunikasi, multimedia dan Inisiatif Ekonomi Digital Negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Kejuruteraan ASEAN Australia 2022 (AAEC 2022) yang disertai seramai 250 peserta dari Singapura, Australia dan Semenanjung Malaysia di Digital Village, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Komunikasi Datuk Julaihi Narawi, Pengerusi Penganjur AAEC 2022 Ir Dennis Ong dan Naib Canselor Pro dan Ketua Eksekutif Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak Prof Lau Hieng Ho.
Abang Johari menerima cenderamata daripada Dennis sambil disaksikan Prof.Lau (kanan) pada majlis perasmian Kongres Kejuruteraan ASEAN Australia 2022 (AAEC 2022) di Kuching hari ini.
Abang Johari berkata, dalam tempoh lima tahun lalu, Sarawak juga telah mencapai beberapa pencapaian di bawah ekosistem ekonomi digital.
Antaranya, kata beliau, adalah inisiatif Menghubungkan Bandar dan Luar Bandar Sarawak (SALURAN).
“Ini adalah inisiatif kerajaan Sarawak untuk menyediakan liputan telekomunikasi di kawasan terpencil dan luar bandar Sarawak.
“Pembinaan 600 menara komunikasi adalah sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan di bawah projek Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) SMA yang dijangka siap dengan perkhidmatan mobiliti dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) pada 2023,” jelasnya.
Selain itu katanya, MySRBN ialah 4G milik negeri dengan rangkaian teras sedia 5G yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar tetap.
Sehingga kini katanya, 158 tapak di seluruh Sarawak telah dilaksanakan untuk menghubungkan masyarakat luar bandar.
“Dalam fasa akan datang, MySRBN akan diperluaskan merentasi semua menara SMART untuk menampung 100,000 lagi rumah luar bandar pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.
Sementara itu katanya, inisiatif Pusat Kecemerlangan Ekonomi Digital di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) bertujuan menghubungkan universiti dengan industri teknologi, menetapkan hala tuju penyelidikan dan pembangunan (R&D), memastikan inovasi berterusan dalam teknologi digital dan pengkomersialan penyelidikan.
Manakala tahun lepas katanya, TEGAS Digital Village telah dilancarkan yang terdiri daripada pelbagai ruang kerja bersama untuk usahawan dan menyediakan sokongan seperti akses pasaran, perlindungan harta intelek, akses kepada pelabur dan peningkatan kemahiran bakat.
“Kira-kira 500 program telah dijalankan untuk melatih perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu di seluruh Sarawak.
“Pada masa ini, Sarawak telah menubuhkan sembilan Hab Inovasi Digital, dengan empat lagi akan datang menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Pada awal bulan lepas Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak melancarkan Perkongsian Makmal Prototaip IR4.0 antara SDEC dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan rakan kongsi ekosistemnya di TEGAS Digital Village.
Katanya, makmal itu akan memberi perkhidmatan kepada industri di Sarawak dengan menyediakan teknologi, pakar dan program pembangunan kapasiti tempatan untuk memupuk ekosistem Industri 4.0 yang komprehensif.-UTUSAN BORNEO