KUCHING: Sarawak berpotensi sebagai ‘Harimau Asia’ berikutan pertumbuhan ekonominya yang pesat serta mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, salah satu faktor utama kejayaan Sarawak adalah kerajaan Sarawak berupaya menentukan hala tuju dan dasar yang betul berasaskan sumber yang ada dan memaksimumkan kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini.
Jelas beliau lagi, ini termasuk penglibatan dalam sektor ekonomi baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara dan seterusnya memberi manfaat jangka panjang kepada setiap lapisan masyarakat.
“Jadi apa yang saya lakukan ialah saya membuat kajian tertentu mengenai perkara ini, dan saya dapati bahawa kita mesti mempunyai dasar tertentu untuk mengurangkan isu pelepasan karbon. Itu yang pertama.
“Kedua, mengurangkan suhu global. Mengikut kajian saya, Sarawak mempunyai sumber untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pada masa sama menyumbang kepada pengurusan iklim. Kita ada hutan, kita ada sumber asli, terutama biodiversiti. Jadi kita berpeluang mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada perdagangan karbon baharu.
“Maka di sini terdapat banyak peluang untuk kita melakukan transformasi ke arah ekonomi baharu. Saya rasa mungkin kerana itu Perdana Menteri menyebut bahawa Sarawak ialah ‘Harimau Asia’ baharu ke arah ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program ‘Money Matters’, yang disiarkan di saluran TV3, pada Sabtu.
Tambah Abang Zohari lagi, beliau turut menekankan kepentingan utama Sarawak pada masa kini adalah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai negeri berpendapatan tinggi dengan pendekatan pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Sarawak telah diisytihar oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita kita menepati piawaian Bank Dunia, dan kejayaan ini ternyata lebih awal daripada yang dijangka.
“PNK per kapita mesti diagihkan melalui pelbagai strategi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Dalam usaha ini, pembangunan bakat adalah salah satu aspek penting yang perlu digalakkan,” tambahnya.
Justeru, beliau yakin dalam tempoh tujuh tahun, Sarawak akan berkembang maju melalui program peralihan ini dengan bantuan sistem pendidikan.
Ujarnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat ini, dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan lima sekolah antarabangsa yang memberi peluang kepada pelajar berkelayakan.
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news