Tempatan

Sarawak bersedia tawar tapak bina pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia

KUCHING: Sarawak bersedia menawarkan tapak bagi membina pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia.

Perkara ini dimaklumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang  Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di sini, pada Jumaat. 

Katanya, tawaran itu bertujuan menambah pos kawalan sempadan sejajar dengan matlamat kerajaan membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.

Ujarnya lagi, dengan adanya penambahan pos kawalan, ia juga mampu meningkatkan keupayaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Kita sedia (tapak) tetapi tanggungjawab terhadap pos kawalan sempadan ini sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Sarawak tidak mempunyai kuasa.

“Bagaimanapun kita akan memberi kerjasama dengan pihak kerajaan pusat untuk menawarkan tapak lokasi,” katanya.

Dalam masa sama, Abang Johari dalam ucapannya kerajaan Sarawak telah membuka pintu sempadan kepada pekerja asing. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan orang ramai kemungkinan wujudnya masalah sosial akibat daripada kehadiran pekerja asing ini.

Pada majlis itu, Abang Johari telah mengagihkan kuih muih Aidilfitri kepada 11 agensi penerima terdiri daripada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang bertugas menjelang perayaan ini.

Antara agensi yang menerima sumbangan ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Penjara Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *